Rabu, 30 Disember 2009

Tetamu Jauh



Malam tadi tetamu dari jauh datang..Lama dah tak jumpa Ksu, jumpa dulu di Port Diskson masa temankan suami temuduga. Macam2 cerita sambil makan2.


 Resepi ekspress, bukan ayam golek, bukan juga ikan siakap masak tiga rasa, tak juga kailan goreng ikan masin, jauh sekali telur dadar...hanya nasi ayam. Puas hati buat sendiri, air tangan sendiri...resepi dari Khanim, terima kasih banyak-banyak Khanim, jasamu dikenang...

Rabu, 23 Disember 2009

Kerjasama

 
 
 
Semalam mesyuarat peperiksaan jabatan..mula pukul 11.00 pagi hingga 1.00 tengahari...berehat sekejap dan sambung semula 2.15 petang hingga 5.30 petang.
 
Penat sampai otak tidak boleh berfikir mana satu pedal 'break' dan minyak kereta. Rasa sakit tulang belakang duduk lama-lama, walaupun kerusinya sangat empuk.
 
Bukan kerja berhempas pulas menggunakan tulang empat kerat tetapi memerlukan otak dan mata, kata lainnya tumpuan pemikiran dan penelitian.
 
 
 
Hari ini masing-masing sibuk membetulkan 'spreadsheet' semalam, bersemangat waja, bagus!!!...apa yang penting...KERJASAMA....

Jumaat, 13 November 2009

SELAWA


Sekolah Latihan Wanita (SELAWA) telah ditubuhkan pada tahun 1962 di bawah kelolaan Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam'iyah Perak).
SELAWA adalah sebuah sekolah yang memberi pendidikan dan latihan kemahiran kepada remaja perempuan melalui pembelajaran Masakan Lauk-Pauk, Kuih-kuih Moden & Tradisional, Jahitan, Sulaman Tangan & Mesin, Solekan & Dandanan Rambut seiring dengan memberi keutamaan Pendidikan Agama dalam penghidupan harian.



Pensijilan dianugerahkan oleh Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam'iyah Perak) kepada pelajar-pelajar yang lulus.


Syarat kemasukan:
Minima kelulusan PMR atau setaraf dengannya dan boleh membaca serta menulis.
Berumur 16-35 tahun

Digalakkan tinggal di asrama.

Kokurikulum: Ceramah agama, kumpulan nasyid, kompang, silat, kursus & motivasi keusahawanan, lawatan sambil belajar dan pertandingan masakan dan gubahan.

Pendaftaran pelajar baru bermula pada bulan Januari semester persekolahan

Sesi Persekolahan: Isnin-Jumaat (8.00 pagi - 4.00 petang)

Yuran:
Yuran pendaftaran - RM450.00
Yuran bulanan       - RM120.00
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Bahagian Pentadbiran & Pengurusan Sekolah Latihan Wanita
Persekutuan Seruan Islam Perak
(Jam'iyah Perak)
No. 9, Jalan Seruan
30250 Ipoh
Perak.
Tel: 05-2548708/ Fax: 05-2546055

Projek Pelajar

Pada 4 November 2009 yang lalu telah diadakan Hari Pameran dan Pertandingan Projek Pelajar Semester Akhir untuk sesi Julai 2009.

Sebanyak 20 projek telah dipilih sebagai peserta pameran manakala 6 kumpulan terbaik dicalonkan memasuki pertandingan.


Berikut adalah gambar-gambar sekitar Hari Pameran dan Pertandingan tersebut.

 
                                         
 
 
                                              





Tahniah kepada para pemenang, semoga ianya dijadikan satu peransang untuk menghasilkan projek yang lebih kreatif dan inovasi.


 
 
 
Bagi yang kalah pula jangan berputus asa, cuba hingga berjaya.
 
 
 
 
 
 
 
 
Wassalam...jumpa lagi.

Selasa, 3 November 2009

Jamuan

 
 
 
 
Assalamualaikum..


 
Hari ini diadakan jamuan oleh ahli bilik L24 dan L26. Macam-macam ada, seperti iklan di ASTRO itu.
 
 
 Menunya pelbagai rasa dari nasi lemak, soto ayam, bihun sup, roti jala dan laksa. Kuih-muih pemanis mulut seperti karipap, cucur badak, puding jagung, puding buah prun, kek batik dan kek coklat.
 
Ada juga buah-buahan seperti limau, jambu batu dan nenas. Kuah rojak juga disediakan untuk dicampurkan dengan sengkuang, timun dan jambu batu, mengikut citarasa kesukaan masing-masing samada mahu dibubuh kacang tanah tumbuk atau makan begitu sahaja.

Semua ahli dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut dan bacaan doa selamat diketuai oleh En. Mohd Hamizan.
 
 Jamuan diadakan di L25, oleh kerana bilik tersebut agak sempit untuk ahli kami seramai 100 orang maka ramai juga yang mengambil makanan dan membawa balik ke tempat duduk masing-masing.
 
 
 Walau pun begitu ramai juga yang memahami keadaan 'sesak' tersebut, dengan sedaya upaya makan dengan cepat dan memberi tempat tersebut kepada kawan-kawan yang baru sampai.
 
 
Terima kasih kepada ahli L24 dan L26 di atas jemputan tadi, semoga ikatan persaudaraan kita semakin kukuh. Hati lembu sama dilapah, hati kuman sama dicicah.
 
 
...tak der gambar memang kurang best ler kan..
 
 
 
Wassalam..

Khamis, 29 Oktober 2009

Latihan Kebakaran



Satu Latihan Kebakaran telah diadakan di JKE pada Rabu 28/10/2009 jam 9.30 pagi. Oleh kerana malang tidak berbau maka langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan untuk menghindarinya dari berlaku.
 
Walau bagaimana jika ia berlaku juga maka perlulah kita bersedia untuk menghadapinya.




 
  Seorang pesakit sedang mendapat rawatan
 
                                         
      
 
Sebahagian penonton sesi latihan             
 
  
 
Sesi penerangan oleh pegawai bomba.
 
 

 


KJ dan KK turut memberi sokongan.



 

Rabu, 28 Oktober 2009

Kursus Jahitan Manik


Jika ada kemahuan di situ ada jalan. Begitulah kata-kata yang paling sesuai untuk menggambarkannya.
 
 Semalam diadakan kursus Jahitan Manik oleh Norkiah di Bilik Perbincangan JKE.
 
 Kreatif, cantik dan menarik serta jika kena gayanya boleh dijadikan pendapatan sampingan. Jika tidak dijahit pada baju sendiri, boleh juga dicuba untuk baju anak-anak.
 
 Namun begitu ucap salah seorang peserta kursus tersebut, kalau sudah menjahit, buatlah bersungguh-sungguh.
 
 
 
 
 
 

 
Minat yang ada perlu dikembangkan, belum cuba belum tahu sudah cuba pasti mahu.



 
 
                                  
 
 
Segala ilmu yang dipelajari perlu dipraktikkan supaya tidak lupa dan mahir. Dengan kemahiran yang ada pasti menambahkan keyakinan untuk meneroka corak-corak baru di masa hadapan.
 
 
Selamat berjaya.


Selasa, 27 Oktober 2009

Audit Dalaman



Selesai sudah audit dalaman sesi Julai 2009. Selepas sesi audit iaitu pada 19-21/10/2009 terus MC 2 hari.
 
Rasa pening kepala, loya nak termuntah, mata berpinar-pinar, badan lemah dan tak bermaya. Bukan menebas rumput atau memotong getah, tidak pula mengait kelapa sawit tapi bisa kepenatannya merayap dan menyerap ke seluruh badan dan otak.
Jadi pemikiran pun mengikut sama, bengap dan lembap.

Itulah realiti kehidupan sekarang, walaupun asalnya nampak senang, duduk dalam bilik air-con dan bermodalkan air liur sahaja tetapi tugas-tugas sampingan itu yang lebih membebankan dan melemaskan.
 
Tugas hakiki hanyalah mengajar anak bangsa supaya menjadi insan bersijil/diploma agar senang mendapat pekerjaan kemudian hari. Nampak mudah, ringkas serta menyeronokkan namun hakikat sebenar umpama meniti bara api. Panas dan menyeramkan.

Tujuan audit dalaman adalah untuk menentukan samada sistem pengurusan kualiti menepati kehendak Standard MS ISO 9001:2008, kehendak pelanggan dan organisasi atau kata lainnya adalah 'look for evidence of compliance and not fault finding'.
 
 Ia juga membantu organisasi dalam proses penambahbaikan berterusan. Sesuatu proses selalunya dirancang dan dipantau dengan kaedah 'Plan-Do-Check-Act'. Semua rekod disimpan sebagai bukti kepatuhan kepada keperluan standard dan organisasi.
 

 
 
 
Walau apa pun tujuannya, yang pasti semenjak dari 27 Mei 2003 saya telah dilantik sebagai Juruaudit Dalaman bagi menjayakan pelaksanaan sistem pengurusan kualiti MS ISO 9001:2000.
 
Terima kasih kepada Cik Hanida Ghazali dari SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN. BHD. yang telah memberi kursus dan taklimat yang lengkap tentang audit ini serta perbezaan versi 2000dan 2008.
 
Moga ilmu, nasihat, pedoman dan pengalaman serta tidak lupa 'lawak-lawak' yang dikenakan kepada kami selaku peserta kursus dapat memberi manfaat untuk diri sendiri, organisasi dan negara amnya.
 
 
Tunggu pula audit SIRIM pada 23 November 2009 ini.
 
 
 
 

Jumaat, 16 Oktober 2009

Damia




Catatan untuk Damia...Hari-hari berlalu tanpa ditahan, terus berlalu tanpa jemu. Corak laluan mungkin berbeza atau berliku, namun pastinya akan terus berlalu.
 
Harungilah hari-hari itu demi detik-detik kehidupan..

Hari ini Damia menjalani pemeriksaan di IJN. Untuk pertama kalinya mendengar berita tentang kesihatannya memang agak mengejutkan semua anggota keluarga.
 
Sebelum ini tidak ada cerita anggota keluarga yang mempunyai masalah jantung berlubang melainkan ada saudara yang mengidap masalah lemah jantung atau darah tinggi, itupun ketika sudah berumur.

Penyakit datang tanpa diduga, hadir tiba-tiba. Jika luka diluar boleh disapu ubat atau dijahit tetapi kalau di dalam jantung banyak prosedur yang perlu diikuti.
 
 
Setiap masa akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan segala usaha membuahkan hasil yang memuaskan.
 
 
Emak dan ayah Damia...senyum selalu.
 

Tuhanku..berikan kesihatan yang baik kepada Damia..amin.
 
 
 

Khamis, 15 Oktober 2009

Rezeki Durian

Assalamualaikum...

Semalam emak dan ayah datang ke rumah, niat hendak menghantar 3 biji buah durian. Mereka di kampung sudah sepakat memberi tuannya merasa dahulu.
 
Ayah kata kalau gugur sebiji tidaklah juga dia datang tapi gugur sekali 3 biji. Macam faham sahaja rezeki untuk tuannya dulu, kesian juga dengan Abang Halim, Kaksu dan Paksu, hanya dapat cium bau sahaja.

Petang itu semasa anak-anak balik dari sekolah, Angah Danial kata dia cium bau durian padahal masa itu atuk dan opahnya belum sampai lagi.
 
 Mungkin juga bau itu datang dari rumah jiran sebelah, ini memandangkan jiran itu juga peminat buah durian. Teka sahaja sebab selalu juga nampak bungkusan kulit durian depan rumah, bersedia untuk dibuang.
 
Anak saya seorang ini peminat buah durian, berbeza dengan kakaknya yang menyatakan buah durian itu busuk..macam orang putih pula.
 
 

 
Tak sangka juga sebab baru 2 bulan sahaja tuan tanah itu bertukar nama, itupun secara tiba-tiba. Tuan tanah asal berhajat untuk menjual tanah tersebut kepada ayah tetapi ayah pula menawarkan kepada saya.
 
Ada harta katanya, kerja kerajaan ini kena kumpul harta sedikit demi sedikit. Maklumlah gaji tidak banyak tapi tiap-tiap bulan dapat. Tidak kaya tetapi senang jika beringat dari sekarang.

Tak sangka itu bukan apa, baru beli sudah boleh merasa buah durian tanah sendiri. Rasanya sedap, lemak manis dan rasa pahit-pahit sedikit,  suamiku kata orang cina suka durian yang rasa macam itu.
 
Bila kopek, ulasnya tersusun padat dan ada pangsa yang cuma ada seulas seumpama kucing tidur, gemuk dan bengkok sedikit. Kami kopek dan makan 2 biji durian itu dengan lahapnya padahal sebelum itu baru selesai makan malam.
 
  
Mungkin ini satu sebab mengapa kita perlu menyimpan duit. Jawapannya mudah sahaja, untuk membeli apa-apa makanan atau barangan kegemaran kita.
 
Mungkin sesetengah orang berkata, kalau hendak makan durian beli sahaja di pasar malam atau di tepi jalan. Sekarang ini tiada musim buah durian, sentiasa ada di mana-mana hatta di JJ.
 
Tetapi pengalaman malam tadi semasa menikmati kelazatan buah durian tersebut terselinap juga rasa syukur di atas kurniaan nikmatNya kepada hamba yang hina ini.
 
 
Tujuan membeli tanah sebelah itu adalah untuk kemudahan kami adik-beradik di kemudian hari. Senang hendak parkir kereta dan kenduri-kendara. Cucu-cucu opah dan atuk setiap tahun bertambah, jadi luaslah sedikit kawasan mereka hendak bermain-main dan terkinja-kinja.
 
Bayangkan sahaja jika Angah Danial berjumpa dengan Angah Faris dan jika Adik Danish berlari dikejar Kakak Irdina. Belum lagi masuk Kakak Damia, Kakak Aisyah, Adik Husaini dan anak Pak Uda.
 
 

Tidak sangka, cepat betul masa berlalu...
 
 
 
 

Beli Rumah Baru...

Assalamualaikum..




Bayaran kos guaman bagi mengendalikan segala urusan mendapatkan pinjaman, menguruskan pelepasan gadaian, pindahmilik, gadaian dan sebagainya adalah RM6888.00, Cukai Taksiran 2009 (2 bulan) RM79.73 dan Cukai Tanah dan Parit/Tali Air RM24.17

Jumlah keseluruhan RM6991.90

Itulah jumlah kos yang mesti dibayar untuk mendapatkan sebuah rumah teres 2 tingkat (22' X 70') di pinggir bandaraya Ipoh. Itu belum dikira lagi harga rumah, (RM178,000.00) dan kos kewajipan seperti grill, lampu, kipas dan bayaran pendaftaran bekalan elektrik dan air.

Semuanya kena ada duit, berapa ringgit? Terpulanglah kepada citarasa masing-masing. Grill yang ada kerawang tentulah harganya lebih mahal dari yang biasa-biasa.
 
Harga lampu 'down light' tinggi lagi kosnya dari lampu kalimantang. Kipas yang ada alat kawalan jauh memang ada kelas tapi mahal sikit dari yang biasa-biasa. Selalunya barangan berkualiti harga pasti tinggi.

Untuk melegakan hati dan memuaskan perasaan tentunya berkehendakkan barang-barang yang bermutu tinggi, jangka hayatnya lebih panjang dan nampak hebat serta cantik. P
 
Pilihlah barangan tersebut dan jumlahkan keseluruhan kosnya. Menarik nafas lega jika kosnya di bawah kemampuan tetapi jika melebihi dari anggaran perbelanjaan semasa, bertenang dahulu...fikir mana yang perlu dan wajib sahaja.

Pisau dan timun di tangan sendiri, terpulanglah hendak dipotong tegak, serong atau bersegi-segi. Tetapi kalau tidak potong timun itu pun tak ada siapa-siapa yang rugi.
 
Jika potong elok-elok nampak cantik dan senang hendak dimakan. Begitulah juga dengan hal rumah ini, jika sudah disiapkan serta lengkap barulah senang hendak tinggal atau disewakan.
 
 

Sekian, jumpa lagi.