Selesai sudah audit dalaman sesi Julai 2009. Selepas sesi audit iaitu pada 19-21/10/2009 terus MC 2 hari.
Rasa pening kepala, loya nak termuntah, mata berpinar-pinar, badan lemah dan tak bermaya. Bukan menebas rumput atau memotong getah, tidak pula mengait kelapa sawit tapi bisa kepenatannya merayap dan menyerap ke seluruh badan dan otak.
Jadi pemikiran pun mengikut sama, bengap dan lembap.
Itulah realiti kehidupan sekarang, walaupun asalnya nampak senang, duduk dalam bilik air-con dan bermodalkan air liur sahaja tetapi tugas-tugas sampingan itu yang lebih membebankan dan melemaskan.
Tugas hakiki hanyalah mengajar anak bangsa supaya menjadi insan bersijil/diploma agar senang mendapat pekerjaan kemudian hari. Nampak mudah, ringkas serta menyeronokkan namun hakikat sebenar umpama meniti bara api. Panas dan menyeramkan.
Tujuan audit dalaman adalah untuk menentukan samada sistem pengurusan kualiti menepati kehendak Standard MS ISO 9001:2008, kehendak pelanggan dan organisasi atau kata lainnya adalah 'look for evidence of compliance and not fault finding'.
Ia juga membantu organisasi dalam proses penambahbaikan berterusan. Sesuatu proses selalunya dirancang dan dipantau dengan kaedah 'Plan-Do-Check-Act'. Semua rekod disimpan sebagai bukti kepatuhan kepada keperluan standard dan organisasi.
Walau apa pun tujuannya, yang pasti semenjak dari 27 Mei 2003 saya telah dilantik sebagai Juruaudit Dalaman bagi menjayakan pelaksanaan sistem pengurusan kualiti MS ISO 9001:2000.
Terima kasih kepada Cik Hanida Ghazali dari SIRIM QAS INTERNATIONAL SDN. BHD. yang telah memberi kursus dan taklimat yang lengkap tentang audit ini serta perbezaan versi 2000dan 2008.
Moga ilmu, nasihat, pedoman dan pengalaman serta tidak lupa 'lawak-lawak' yang dikenakan kepada kami selaku peserta kursus dapat memberi manfaat untuk diri sendiri, organisasi dan negara amnya.
Tunggu pula audit SIRIM pada 23 November 2009 ini.