Rabu, 15 April 2015

Bolehkah Bersalin Normal Selepas Caesarean?


Assalamualaikum...


Kebanyakan pesakit berasa takut untuk bersalin secara normal apabila mendengar risiko pecah rahim boleh berlaku kepada pesakit yang pernah menjalani pembedahan caesarean. Walau bagaimanapun, risiko ini sangatlah kecil dan lebih daripada 75 peratus pesakit yang pernah menjalani pembedahan caesarean ini telah berjaya menempuhi proses bersalin secara normal tanpa apa-apa komplikasi.
Malah, peratusan kejayaan lebih tinggi sekiranya pesakit ini mengalami kontraksi sendiri tanpa perlu dipaksa bersalin (induce). Sepanjang proses bersalin, pihak hospital akan sentiasa memantau degupan jantung bayi di samping memastikan pesakit dalam keadaan yang stabil setiap masa. Sekiranya terdapat tanda-tanda awal rahim pecah seperti jantung bayi tidak kuat atau “lemas”, sakit di bahagian parut pembedahan atau pendarahan luar biasa pada pesakit, pembedahan caesarean secara kecemasan akan dilakukan dengan segera.
Andai kata anda takut untuk bersalin normal kerana sakit, sesetengah hospital menawarkan bius epidural yang sangat efektif untuk memastikan anda rasa lebih selesa semasa proses bersalin. Pelbagai ubat penahan sakit lain yang lain juga selamat untuk digunakan dan tidak akan mengganggu proses bersalin. Kebanyakan hospital mengamalkan ‘husband friendly’ yang membenarkan suami untuk menemani anda sepanjang masa proses bersalin.
Adakah anda tahu bahawa bayi yang bersalin secara normal lebih sihat daripada bayi yang bersalin secara pembedahan caesarean? Satu perbandingan telah dilakukan di antara kedua-dua kumpulan bayi, di mana bayi yang bersalin secara pembedahan caesarean sebelum 39 minggu lebih cenderung mengalami masalah pernafasan berbanding dengan bayi yang bersalin secara normal. Ini adalah disebabkan bayi yang melalui proses bersalin normal menghasilkan hormon kortisol yang lebih tinggi untuk mematangkan sel-sel pernafasan di dalam paru-paru bayi.
Sekiranya anda memilih untuk bersalin normal, anda juga boleh mengelakkan pelbagai komplikasi yang boleh berlaku semasa pembedahan caesarean seperti pendarahan, uri melekat pada parut rahim, kecederaan pada pundi kencing atau usus disebabkan perlekatan pada parut lama.
Selain daripada itu, pesakit yang menjalani pembedahan caesarean juga terdedah kepada risiko darah beku di dalam pembuluh darah kaki atau deep vein thrombosis yang boleh menyebabkan kematian sekiranya darah beku ini pecah dan tersumbat pada jantung atau paru-paru. Perlu diingatkan juga, risiko bius juga perlu diambil kira sekiranya pesakit menjalani pembedahan caesarean.
Secara umumnya, proses penyembuhan adalah lebih cepat untuk pesakit yang berjaya bersalin normal. Kebanyakan pesakit yang bersalin normal boleh berjalan dengan lebih awal, lebih aktif dan dibenarkan pulang ke rumah lebih cepat. Pesakit juga tidak akan mengalami sakit yang lama selepas bersalin dan boleh mengendalikan bayi dengan lebih cepat berbanding dengan pesakit yang menjalani pembedahan.


Sebelum anda memilih untuk bersalin normal selepas pembedahan caesarean, beberapa faktor perlu dipertimbangkan terlebih dahulu. Adalah penting untuk mengetahui sejarah pembedahan caesarean anda dahulu untuk memastikan tiada komplikasi pada kandungan dahulu. Hysterotomy atau pembedahan yang dilakukan sebelum 28 minggu secara lazimnya tidak dibenarkan bersalin normal pada kandungan seterusnya kerana ianya mempunyai risiko tinggi untuk mendapat rahim pecah.


Jarak kandungan yang kurang daripada 18 bulan juga meningkatkan risiko rahim pecah tiga kali ganda lebih tinggi kerana bahagian yang dibedah belum sembuh sepenuhnya. Ibu yang telah menjalani pembedahan caesarean lebih daripada sekali juga tidak dibenarkan mencuba bersalin normal kerana risiko untuk rahim pecah sangatlah tinggi selepas itu.


Kesimpulannya, bersalin normal adalah baik untuk ibu dan bayi walaupun pernah menjalani pembedahan caesarean sebelum ini. Apa pun pilihan anda, sama ada memilih untuk bersalin biasa atau menjalani pembedahan caesarean sekali lagi, pesakit dan pasangan perlu memahami dan menilai baik buruknya kaedah bersalin yang dipilih itu.


Perlu diingatkan, semua pesakit yang pernah menjalani pembedahan caesarean hendaklah mendapatkan rujukan rawatan daripada pakar obstetriks. Bersalin di hospital adalah penting untuk memastikan keselamatan ibu dan bayi sentiasa terjamin semasa proses bersalin nanti.



SUMBER