Khamis, 12 Mac 2015

Nostalgia Drama Rumah Kedai





Assalamualaikum..



Al-Fatihah: Haron Salim Bachik (Remy)
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.


Rindunya saya dengan Drama Rumah Kedai ini...ohhh!! kenangan yang paling indah dalam kehidupan saya. Terkejar-kejar saya dan adik-adik melangkah tangga naik ke tingkat atas rumah untuk menonton tv bila siaran Rumah Kedai bermula. Berdentum-dentam bunyi lantai papan rumah bila kami berlari-lari sambil berebut-rebut mencari tempat duduk. Sampai di depan tv, kami akan saling tolak-menolak untuk mendapatkan 'port' yang paling best, betul-betul di hadapan tv. Walaupun nampak kasar tetapi kami sangat bahagia dan gembira waktu itu.

Apabila sudah mendapat tempat masing-masing, bila mula sahaja iklan drama ini, kami akan saling syyy..syyss...syyyss... masing-masing memberi isyarat supaya diam. Kami akan menonton dengan kusyuk dan menghayati cerita dalam drama ini. Jika dalam drama ini menunjukkan babak gembira dan lucu, kami akan mengekek-ngekek gelak bersama. Begitu juga dengan babak sedih, selalunya saya dengan perlahan-lahan akan mengesat air mata yang mengalir dengan hujung lengan baju. Bukan saya seorang sahaja yang syahdu, ada juga adik-adik yang lain diam-diam menahan sebak di hati. Terasa malu kami yang menangis ini bila ada salah seorang dari kami yang akan kata..."emmm, hujan sudah turun"..heheheee...

Kami adik beradik semuanya suka menontan drama Rumah Kedai ini, termasuk juga dengan emak, Wan Timah. Tapi Wan Timah selalunya tidak dapat menonton dengan tenang, mungkin agaknya dia sibuk memasak juadah untuk berbuka puasa nanti. Kesian Wan Timah, dia banyak berkorban masa, tenaga dan keinginan hatinya demi anak-anak dan suami.

Pada zaman itu, kami adik beradik pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton drama yang hebat ini. Semasa itu setiap watak yang ada dalam drama Rumah Kedai itu kami kenal. Kiranya kami menghayati setiap jalan cerita dalam drama ini. Jika boleh kami hendak melompat masuk dalam drama itu sekali untuk sama-sama berlakon dengan Pak Halim, Mak Lijah, Tapa dan Remy. Tinggal sekali dengan Tapa dan Remy di dalam bilik di rumah kedai itu, sama-sama bekerja dengan Pak Halim dan Mak Lijah.

Begitulah kuatnya pengaruh drama Rumah Kedai ini sehingga mempengaruhi fikiran saya dan adik-adik semasa itu. Walaupun ceritanya biasa-biasa sahaja tapi bagi diri saya inilah drama terbaik dan sangat menyentuh perasaan saya. Semua ceritanya tentang manusia dan kehidupan.


 

Siri TV Rumah Kedai (1990)


Pada 27 Mac 1990 bersamaan 1 Ramadan 1410, siri TV Rumah Kedai musim ketiga mula disiarkan oleh saluran TV3. Ia bersiaran mulai pukul 5.30-6.00 petang (Isnin-Jumaat) atau 4.40-5.00 petang (Sabtu-Ahad). Rumah Kedai ialah sebuah rancangan drama bersiri sebanyak 30 episod yang disiarkan khas pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Musim pertama rancangan sukaramai itu telah disiarkan pada 1988. Menurut majalah Tele-skop, "siri ini lebih bertemakan soal-soal moral, keagamaan, politik dan keluarga".

Sumber Arkib Negara X



Wassalam.