Sabtu, 14 Februari 2015

Danial Tuition di PRO A

Assalamualaikum..


 
Seperti biasa malam tadi Danial pergi tuition lagi. Dia tuition di Pusat Tuisyen PRO A, berdekatan dgn Maybank Gunung Rapat. Kami ambil slot 1 iaitu kelas diadakan pada hari Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Kelas slot 2 pula pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Kelas bermula jam 8.00 malam hingga 9.30 malam. 

Saya menghantar Danial ke situ dengan niat untuk memberi pengalaman baru kepada dia. Walaupun dia penat sedikit kerana pagi petang pergi sekolah kebangsaan dan agama tetapi setakat hari ini nampak gayanya dia sangat berminat untuk ke PRO A setiap malam. Setiap petang selepas balik dari sekolah agama dia bermain basikal dahulu. Pusing-pusing keliling taman, selalunya dengan Hakim kawan depan rumah. Jika Hakim senyap sahaja dia akan mengayuh seorang diri.

Agak-agak lebih kurang jam 7.00 petang dia balik ke rumah dan melepak sekejap di depan TV. Semasa ini selalunya saya sudah bising-bising menyuruh dia mandi dan bersiap-siap untuk ke pusat tuition. Jika saya cepat memasak hidangan malam, saya akan menggalakkan dia makan dahulu. Itu pun terpulang juga kepada dia samada hendak makan sebelum pergi tuition atau selepas balik nanti.

Saya ini juga seperti ibubapa yang lain, berharap agar anak-anak menjadi cerdik dan bijak. Anak sulung dulu, Klong kami tidak pernah menghantar dia ke pusat tuition berbayar-bayar ini. Klong hanya belajar di sekolah kebangsaan dan agama. Dia hanya ke tuition yang diadakan oleh cikgu sekolah dia pada waktu petang semasa Tahun 6 dahulu. Semasa itu kami yakin dengan kebolehan dan kemampuan Klong.

Walaupun begitu, ALLAH memberi kami peluang (kami merujuk kepada saya dan suami) untuk mendidik Danial dengan bantuan dari insan lain selain dari cikgu di sekolah rendah dan agama. Sebelum ini pun kami telah menghantar Danial tuition di rumah Cikgu Kamariah untuk belajar membaca rumi dan jawi. Hampir 2 tahun Danial ke sana, 3 kali seminggu dari jam 8.00 hingga 9.00 malam. Alhamdulillah, ada peningkatan dalam diri dia. Tetapi bila sudah terlalu lama di satu tempat yang sama, Danial mula bosan. Jika begitu moodnya Danial belajar dalam keadaan tertekan. Tiada rasa keinginan untuk dia ke sana lagi.

Dengan mengikuti tuition di PRO A ini, dia mendapatkan pengalaman baru serta kawan baru. Dan nampaknya dia berazam baru. Begitu rajin dia membuat kerja sekolah selepas balik dari pusat tuition. Selepas siap kerja sekolah, dia akan mengemas sendiri begnya mengikut jadual waktu sekolah untuk hari esoknya. Kadang-kadang hampir jam 11.00 malam baru dia masuk tidur.

Satu yang saya perasan sikap dia sejak mula tuition ini adalah bab bergaya. Kemain lagi cara dia menyisir rambutnya. Siap berminyak-minyak lagi walau pun kelas diadakan pada waktu malam. Katanya kena sikat elok-elok supaya nampak macho. Gigi juga bergosok elok supaya tiada bau yang kurang menyenangkan. Dia juga memakai baju sejuk kerana katanya kelas tuition itu sejuk. Bertambahlah lagi gayanya dengan pemakaian baju sejuk itu. 

Agaknya dengan peningkatan usianya yang hampir 11 tahun, Danial semakin pandai hendak bergaya. Teringat saya peristiwa bersejarah dalam hidup Danial ini, dia pandai mengayuh basikal dengan 2 tayar itu pada tahun lepas. Adalah dekat 2 jam juga saya memegang bahagian belakang basikal dia sambil berlari-lari dalam keadaan terbongkok-bongkok. Sakitnya pinggang dan badan saya waktu itu. Jari saya merah-merah sampai melecet gelembung air. Penat sangat rasanya waktu itu saya melatih dia mengayuh basikal. 

Dan akhirnya dengan penuh rasa kesyukuran, Alhamdulillah pandai juga dia mengayuh basikal dengan bebas dan ceria. Sekarang ini siap boleh buat aksi lepas tangan sebelah lagi. Saya yakin dengan kemahuan dan usaha dari dalam jiwanya sendiri dan juga dorongan dari ibubapa dan guru-guru, dia juga boleh berjaya seperti anak-anak yang lain. 

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Danial menjadi anak yang baik, hormat kepada ibubapa dan guru serta berjaya dalam kehidupannya di masa akan datang. Aminn..


Ok, jumpa lagi.