Jumaat, 27 Mac 2015

Berkongsi Tip Keluarga Bahagia




Assalamualaikum...






Sumber 



Tips 8P Keluarga Bahagia
1. P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.
2. P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk-memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3. P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4. P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.

5. P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.

6. P keenam membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7. P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.

8. P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.



**************************

Pada pendapat saya, jika kita dapat mengambil dua atau tiga P di atas itu pun sudah cukup baik. Hajat di hati memang hendak mengikut semua tip itu tetapi sebagai manusia biasa pastinya kita ada kelemahan dan kekurangan masing-masing. Contohnya P yang kelima itu, iaitu 'persefahaman'. Maksud perkataan itu, boleh dirujuk di SINI iaitu hal bersefahaman; persetujuan: Dgn cara berunding, ~ dpt dicapai. (Sumber : Kamus Pelajar Edisi Kedua).

Bukanlah suatu yang mudah untuk berunding/berbincang jika hati dan perasaan telah disakiti oleh suami/isteri masing-masing. Jika diluahkan apa yang terpendam di dalam hati, besar kebarangkalian untuk mereka bermasam muka atau bergaduh. Masing-masing akan cuba menegakkan benang masing-masing. Bagi diri sayalah tidak kiralah benang itu basah atau kering, kedua-dua keadaan ini benang tetap tidak boleh ditegakkan.

Nasihat saya, jangan terus menuduh pihak di sebelah sana yang bersalah, aku yang betul. Mungkin apa yang kita fikirkan semasa itu tidak sama atau berlawanan dengan pihak sebelah sini. Pihak sebelah sana pasti mencari jalan untuk berhujah dengan menyatakan tindakan dia yang betul manakala kita pula salah. Sikap saling mempertahankan diri masing-masing pasti terjadi. Sampai bila pun perkara ini tidak selesai jika masing-masing saling tuduh-menuduh dan benci-membenci.

Maka di sinilah bergunanya makna 'persefahaman' itu demi untuk menyelamatkan keadaan. Satu pihak perlu beralah. Beralah bukan bermaksud kalah. Biarkan dahulu pihak yang sedang  'panas membara' itu memuntahkan segala gelodak rasa hatinya. Biarlah dia meluahkan perasaannya yang sedang 'sakit' itu. Pihak satu lagi perlu diam sahaja. Sebaiknya jangan menjawab atau melawan. Api dengan api akan menyebabkan keadaan semakin marak dan parah.

Untuk mengawal keadaan yang 'sedang bergolak' dalam rumahtangga bukanlah suatu perkara yang mudah, perlukan kekuatan rohani/dalaman dan mental yang kuat. Berilah masa untuk 'ombak yang mengganas' itu berlalu pergi. Setelah keadaan kembali reda maka barulah kedua-dua belah pihak duduk berbincang bersama mencari jalan penyelesaian tentang masalah mereka. Pastikan juga suasana semasa itu berada dalam keadaan terkawal dan jiwa dikuasai dari sifat kemarahan dan kebencian sesama sendiri.

Saya yakin jika pasangan ini sentiasa berfikir untuk mencapai 'persefahaman', bukannya kemenangan di satu pihak sahaja maka segala masalah akan selesai. In Sha ALLAH...
Kehidupan berkeluarga sentiasa ada cabaran dan dugaannya, maka jika kita mampu mengharungi detik-detik sukar itu pasti akhirnya kemanisan yang akan kita dapat. Maka, marilah kita bersama-sama mengambil panduan ini untuk kebaikan dan kebahagiaan kita sekeluarga demi kebahagiaan dunia dan akhirat.

Suka juga diingatkan bahawa ada beberapa tip itu seperti 'peluk', 'pergaulan' dan 'percutian' ini hanya untuk pasangan suami isteri yang sah sahaja, bukan untuk pasangan kekasih atau mereka yang masih bertunang, kata lainnya masih belum diijab qabul. Saya memohon kepada mereka ini agar menjaga batasan pergaulan dan tatasusila berkawan antara lelaki dan perempuan. Bukan bermaksud sudah mendapat tiket besar untuk bebas melakukan perbuatan tersebut dengan hanya memberi alasan telah mendapat kebenaran dari ibu bapa masing-masing. 

Wahai adik-adik sekalian. Kalian masih muda remaja. Masa muda inilah kalian perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada tanggungjawab untuk menuntut ilmu sebaik mungkin. Janganlah dijadikan alasan jika tidak mencari teman wanita/lelaki pada waktu muda ini, atau sekarang ini kalian tidak mendapat jodoh di masa akan datang. Percayalah bahawa soal jodoh ini telah ditetapkan oleh ALLAH. Yakinlah dengan sesungguhnya di dalam sudut hati masing-masing, jika dirimu membawa keperibadian yang baik maka In Sha ALLAH akan baik jugalah jodohmu itu nanti. Berdoalah dengan sesungguhnya kepada ALLAH semoga segala impian dan cita-cita kalian akan tercapai suatu masa nanti.




Wassalam.