Jumaat, 22 Oktober 2010

Tetamu Allah

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Esok, 23hb Oktober 2010, emak dan ayah mentua saya iaitu Tn. Hj. Lutpi B. Ibrahim dan Pn. Hjh. Hindon Bt Ghazali akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji. Mereka akan berkumpul di Kelana Jaya sebelum bertolak melalui KLIA anggaran pukul 3.30 petang waktu Malaysia. Pemergian mereka dari Air Molek, Melaka ini akan diiringi oleh saudara-mara dan rakan-taulan yang akan menaiki sebuah bas persiaran dan beberapa buah kereta persendirian.


Alhamdulillah, doa dan hajat mereka berdua untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini tercapai buat kali kedua pada tahun ini. Sebelum ini juga mereka telah berangkat ke Tanah Suci pada tahun 1995 dan menunaikan ibadah Umrah pada tahun 2009. Ibadah Umrah mereka itu disertai sekali oleh dua orang anak kesayangan mereka iaitu Dzulhaizan dan Helwa Naemah.


Dalam tempoh seminggu ini, ramailah rakan-rakan dan anak-anak didik ayah dan emak mentua datang menziarahi mereka. Masing-masing mendoakan kesejahteraan dan ketenangan keduanya semasa bergelar Tetamu Allah. Doa dan kata-kata semangat mereka bakal menjadi perangsang dan pedoman buat mereka berdua. Doa ini harapnya dititipkan berterusan sehinggalah mereka selamat sampai di tanahair, bumi Malaysia pada 11hb Disember 2010, insyaallah.

Sekian buat kali ini, jumpa lagi.