Ahad, 18 Jun 2017

15 Tip Raya di Kampung




Untuk mudahkan urusan ketika balik raya di rumah mak ayah di kampung, sila ikuti 15 langkah berikut :

1. Bawa balik seterika sendiri. Supaya x berebut. Kalau muat bonet, angkut iron board sekali.

2. Rumah di kampung kadang x ada aircond, kipas terhad, bawa balik 1 kipas sendiri. Kalau dapat elakkan tidur hotel atau homestay melainkan wujud keperluan mendesak.

3. Bawa balik extention cable sekali. Taklah berebut nak cas telefon, nak iron, nak blender dll.

4. Kalau perlu, tilam@toto pun bawa sekali.

5. Boleh tidur lewat malam raya, tapi jangan sampai terlepas solat di pagi raya.

6. Ajar isteri dan anak perempuan untuk tolong mak basuh pinggan dan kemas meja lepas makan. Anak lelaki tolong atuk kemas rumah seperti sapu laman, bakar lemang, ligan ayam dll.

7. Untuk elakkan anak-anak 24 jam dengan hp, mak ayah pun kena elakkan dari 24 jam tengok hp. Kepimpinan melalui tauladan.

8. Untuk suasana harmoni, elakkan orang lelaki buka baju atau merokok ketika ramai-ramai di ruang tamu, atau di meja makan. Ia terkait dengan aurat, keselesaan dan 'respect'.

9. Santuni adik beradik yang sedikit 'kurang' berada dari kita. Jangan sembang bab kereta, telefon baru, beli rumah, pergi Korea dll. Kalau ditanya, boleh dijawab ringkas. Fokus pada silaturrahim.

10. Bagi duit raya pada mak ayah ikut kemampuan. Sikit atau banyak, kena bagi. Duit memang penting, namun 'keberadaan' kita bersama mereka lebih disyukuri.

11. Jangan selalu terperap dalam bilik. Ini biasa hobi menantu perempuan. Ringan-ringankan tulang bantu di dapur. 1 lagi, time raya ni lah nak kenal saudara mara. Kalau terperap dalam bilik, mana nak kenal siapa yang datang.

12. Kalau ada lebihan rezeki, tolonglah beli barang-barang dapur. Beras pulut, daun palas, daging 3-4 kg., kuih raya 3 atau 4 balang dll. Paling koman 'kordial sunquick' pun kira dah soleh lah tu.

13. Jangan mudah terasa dengan tutur kata adik beradik ipar duai. Belajar berlapang dada. Jangan cemari kemaafan Syawal dengan kemarahan kita. Kalau rasa diri memang tak boleh nak berlebih kurang dgn org lain, jgn harap orang lain berlebih kurang dengan kita. Kena belajar erti menghormati yg tua yg muda, jangan rasa kita hebat.

14. Bagi yang beraya di rumah mertua, cuba enjoy dan menerima seadanya. Mungkin tak sama dengan raya kat rumah sendiri. Tapi nasiblah, sapa suruh kahwin! hihihi...

15. Kita balik kampung bukan kerana budaya, tetapi kerana mak ayah kita, tanggungjawab kita. Kalau mereka sudah tiada, memori masih terpahat di sana. Nikmati masa tersebut. Hargai dan syukuri sebelum ianya berlalu pergi.

Sabtu, 17 Jun 2017

Sini Bukan Rumah Kita





Kita bukan penduduk bumi,
kita adalah penduduk syurga.
Kita tidak berasal dari bumi,
tapi kita berasal dari syurga.

Maka carilah bekal untuk kembali ke rumah kita,
kembali ke kampung halaman yang lama kita tinggalkan.

Dunia ini bukan rumah kita,
maka jangan alpa dengan kesenangan dunia.
Kita hanya pejalan kaki dalam perjalanan kembali kerumah kita.

Tak rindukah pada kampung anda?

Bukankah mereka yang sedang dalam perjalanan pulang selalu mengingat rumahnya dan mereka mencari buah tangan untuk kekasih hatinya yang menunggu di rumah..

Lantas, apa yang kita bawa untuk penghuni rumah kita?

Rabb yang mulia
Dia hanya meminta amal sholeh dan keimanan, taat padaNya serta rasa rindu padaNya
Yang menanti di rumah.

Begitu beratkah memenuhi perintahNya?

Kita tidak berasal dari bumi, kampung asal kita adalah di syurga.

Kenapa kita lupa?

Rumah kita jauh lebih indah di sana.
Kenikmatannya tiada terlukiskan,dihuni oleh orang-orang yang mencintai kita.
Ada isteri sholehah
Ada suami Sholeh
serta tetangga dan kerabat yang menyejukkan hati.
Mereka rindu kehadiran kita, setiap saat menatap menanti kedatangan kita.
Mereka menanti khabar baik dari Malaikat Izrail.

Bila keluarga mereka akan pulang?

Ikutilah peta (Al Qur'an) yang Allah titipkan sebagai pedoman perjalanan.
Jangan sampai salah arah dan berbelok ke rumahnya iblis Laknatullah iaitu neraka.

Kita bukan penduduk bumi,
kita penduduk syurga.
Bumi hanyalah perjalanan.
Moga perjalanan kita kesana selamat dan diRahmati

INGAT!! Ini bukan rumah kita.




( dikongsi... Semoga Allah merahmati tuan yg mngarang & melakarkan puisi indah ini )

Jumaat, 16 Jun 2017

Malam Al Qadar



Malam Al Qadar

Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri.

Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri.

Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah?

Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat dan hebat.

Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar.

Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail.

Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.

Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu.

Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat.

Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas.

Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.

Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)

Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya.

Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.

Mujahadahnya akan terbantu.

Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin.

Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.

Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar.

Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya.

Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk.

Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya.

Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah.

Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang sempurna.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu.

Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu.

Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir.

Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah ‘malam Al Qadar’.

Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini  atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…

Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan atau bulanan.

Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuiNya”. Mengapa?

Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat.

Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!

Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku... kasihanilah aku Ya Allah... dgn berkat kekasih2Mu
, Aminn..