Sabtu, 14 Februari 2015

Danial Tuition di PRO A

Assalamualaikum..


 
Seperti biasa malam tadi Danial pergi tuition lagi. Dia tuition di Pusat Tuisyen PRO A, berdekatan dgn Maybank Gunung Rapat. Kami ambil slot 1 iaitu kelas diadakan pada hari Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Kelas slot 2 pula pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Kelas bermula jam 8.00 malam hingga 9.30 malam. 

Saya menghantar Danial ke situ dengan niat untuk memberi pengalaman baru kepada dia. Walaupun dia penat sedikit kerana pagi petang pergi sekolah kebangsaan dan agama tetapi setakat hari ini nampak gayanya dia sangat berminat untuk ke PRO A setiap malam. Setiap petang selepas balik dari sekolah agama dia bermain basikal dahulu. Pusing-pusing keliling taman, selalunya dengan Hakim kawan depan rumah. Jika Hakim senyap sahaja dia akan mengayuh seorang diri.

Agak-agak lebih kurang jam 7.00 petang dia balik ke rumah dan melepak sekejap di depan TV. Semasa ini selalunya saya sudah bising-bising menyuruh dia mandi dan bersiap-siap untuk ke pusat tuition. Jika saya cepat memasak hidangan malam, saya akan menggalakkan dia makan dahulu. Itu pun terpulang juga kepada dia samada hendak makan sebelum pergi tuition atau selepas balik nanti.

Saya ini juga seperti ibubapa yang lain, berharap agar anak-anak menjadi cerdik dan bijak. Anak sulung dulu, Klong kami tidak pernah menghantar dia ke pusat tuition berbayar-bayar ini. Klong hanya belajar di sekolah kebangsaan dan agama. Dia hanya ke tuition yang diadakan oleh cikgu sekolah dia pada waktu petang semasa Tahun 6 dahulu. Semasa itu kami yakin dengan kebolehan dan kemampuan Klong.

Walaupun begitu, ALLAH memberi kami peluang (kami merujuk kepada saya dan suami) untuk mendidik Danial dengan bantuan dari insan lain selain dari cikgu di sekolah rendah dan agama. Sebelum ini pun kami telah menghantar Danial tuition di rumah Cikgu Kamariah untuk belajar membaca rumi dan jawi. Hampir 2 tahun Danial ke sana, 3 kali seminggu dari jam 8.00 hingga 9.00 malam. Alhamdulillah, ada peningkatan dalam diri dia. Tetapi bila sudah terlalu lama di satu tempat yang sama, Danial mula bosan. Jika begitu moodnya Danial belajar dalam keadaan tertekan. Tiada rasa keinginan untuk dia ke sana lagi.

Dengan mengikuti tuition di PRO A ini, dia mendapatkan pengalaman baru serta kawan baru. Dan nampaknya dia berazam baru. Begitu rajin dia membuat kerja sekolah selepas balik dari pusat tuition. Selepas siap kerja sekolah, dia akan mengemas sendiri begnya mengikut jadual waktu sekolah untuk hari esoknya. Kadang-kadang hampir jam 11.00 malam baru dia masuk tidur.

Satu yang saya perasan sikap dia sejak mula tuition ini adalah bab bergaya. Kemain lagi cara dia menyisir rambutnya. Siap berminyak-minyak lagi walau pun kelas diadakan pada waktu malam. Katanya kena sikat elok-elok supaya nampak macho. Gigi juga bergosok elok supaya tiada bau yang kurang menyenangkan. Dia juga memakai baju sejuk kerana katanya kelas tuition itu sejuk. Bertambahlah lagi gayanya dengan pemakaian baju sejuk itu. 

Agaknya dengan peningkatan usianya yang hampir 11 tahun, Danial semakin pandai hendak bergaya. Teringat saya peristiwa bersejarah dalam hidup Danial ini, dia pandai mengayuh basikal dengan 2 tayar itu pada tahun lepas. Adalah dekat 2 jam juga saya memegang bahagian belakang basikal dia sambil berlari-lari dalam keadaan terbongkok-bongkok. Sakitnya pinggang dan badan saya waktu itu. Jari saya merah-merah sampai melecet gelembung air. Penat sangat rasanya waktu itu saya melatih dia mengayuh basikal. 

Dan akhirnya dengan penuh rasa kesyukuran, Alhamdulillah pandai juga dia mengayuh basikal dengan bebas dan ceria. Sekarang ini siap boleh buat aksi lepas tangan sebelah lagi. Saya yakin dengan kemahuan dan usaha dari dalam jiwanya sendiri dan juga dorongan dari ibubapa dan guru-guru, dia juga boleh berjaya seperti anak-anak yang lain. 

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Danial menjadi anak yang baik, hormat kepada ibubapa dan guru serta berjaya dalam kehidupannya di masa akan datang. Aminn..


Ok, jumpa lagi.




Isnin, 26 Januari 2015

Gerimis Mengundang


Assalamualaikum..

Lamanya saya tidak menulis apa2 kat sini, sudah lebih seminggu blog ini sejuk dan membeku, mengalahkan cuaca di oversea pula. Teringinnya rasa hati saya ini hendak melancong ke luar negara, lagi-lagi di negara yg mempunyai 4 musim itu.

Musim yg paling saya suka ialah pada musim sejuk, bestnya bila dapat melihat salji turun berterbangan depan biji mata sendiri. Waktu itu pula saya hanya menadahkan kedua-dua belah tapak tangan. Salji akan jatuh berguguran atas sarung tangan yang tebal. Bila salji sudah penuh atas tapak tangan, kepal2 pula ia dan letak kat pipi...emmm, mesti best gila kann.

Emmm, berangan tak salah kan. In Syaa ALLAH semoga suatu hari nanti impian saya ini menjadi kenyataan. Bila?...tak pasti lagi...hihiii..

Cerita bab melancong ini saya memang suka, suka sesangat. Seronok dapat melihat tempat orang, dapat merasai suasana baru, menghirup udara baru dan merasa makanan baru..Nie, asyik-asyik ke Waritha kat Simpang Pulai tu, tak pun Mee Rebus Ramli di Taman Perpaduan. Sudah bertahun ke situ, dah jemu dah weii!!!... 

Sebenarnya saya sedang bersedih sekarang ini..nak kata sedih sangat pun tidaklah, mungkin perkataan yg paling sesuai adalah rasa terkilan. Begitulah kehidupan, kita merancang manakala ALLAH yang menentukan. Sepatutnya sekarang saya berada di Kuching tetapi.....

Lama juga kami merancang, rasanya lebih setahun. Saya menggunakan perkataan 'kami' kerana ia melibatkan beberapa orang rakan saya sekali. Kami merancang pada tahun 2013 lagi. Saya dan rakan telah menempah tiket AirAsia ke Kuching pada tarikh 24-27 Januari 2015 iaitu untuk perjalanan 4 hari 3 malam.

Begitu terujanya saya pada waktu itu, siap menempah untuk 8 orang lagi. Saya 6 beranak termasuk sekali Pak Aji Mat dan Wan Timah. Duit semua sudah diserahkan kepada rakan saya yang akan mengetuai rombongan ke sana, tambang murah RM70 seorang. Termasuk dalam rombongan ini juga rakan sekerja saya, Kak Zah suami isteri. Sebelum ini kami telah mengikut rombongan kawan saya ini ke Bukittinggi Sumatera Barat, Indonesia pada tahun 2010. Semasa itu semuanya berjalan lancar dan masing-masing gembira dan sangat berpuas hati.

Jika diikutkan Pak Aji Mat, dia sudah lama membuat keputusan untuk tidak mahu pergi dalam rombongan kali ini iaitu sejak MH370 hilang pada 8 Mac 2014 lagi. Bertambah kuat lagi bukti untuk menyokong kata-katanya bila MH17 pula ditembak jatuh pada 17 Julai 2014. Katanya dia rasa takut sangat hendak menaiki kapal terbang ini.

Kami pujuk-pujuk juga dia pada waktu itu. Wan Timah pun menyokong saya. Katanya jika telah ajal kita tidak boleh elak, walaupun duduk dalam kelambu. Tidak boleh elak atau tangguh pun walau sesaat. Ajal itu tetap sampai bila tiba waktunya.

Tetapi segalanya telah berubah bila keluar pula berita Pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas pada 30 Disember 2014. Terus saya tawar hati campur takut juga hendak menaiki kapal terbang pada masa terdekat ini. In Syaa ALLAH jika ada kesempatan di lain kali kita terbang lagi, yang penting sekarang ini kumpul dulu duit banyak-banyak.

Sebenarnya jika tiada apa-apa peristiwa berkaitan kapal terbang ini pun, rasanya kami tidak jadi juga melancong ke Kuching kali ini. Pertamanya di sana sekarang tengah banjir. Macamana hendak berjalan-jalan dengan air sekeliling pinggang, kenderaan tidak boleh lalu di atas jalan raya. Pemandu pelancong pun cuti duduk rumah sahaja waktu banjir-banjir ini. Bahaya dalam air kita tidak nampak, jadi baiknya tidak gerak ke mana-mana.

Alasan keduanya, sekarang KakLong duduk asrama. Ayahnya kata tidak seronok jika berjalan-jalan tanpa dia. Walaupun dia tidak kisah kami pergi tanpa dia tapi kita sendiri sebagai ibubapa tentu tidak bahagia jika anak tidak bersama saat bergembira. Jika boleh bergembiralah bersama ahli keluarga, barulah bahagia sentiasa.

Alasan ketiga pula, kononnya percutian kali ini saya ingat untuk meraikan wedding anniversary kami. Dulu kami bernikah pada 21 Januari 2001. Bulan Januari peristiwa berlalu, terasa begitu cepat masa berlalu, berbagai ragam dan karenah di dalam alam rumahtangga telah kami tempuhi bersama. Suka duka, pahit manis semua ada. Suami kata tidak perlulah hendak sambut-sambut pada tarikh itu, hanya ingat dan lakukan tanggungjawab masing-masing, In Syaa ALLAH bahagia.

Alasan keempat pula, minggu lepas anak-anak saya demam, selesema dan batuk. Mulanya pagi Isnin Danial mengadu kata dia pening kepala. Saya suruh juga dia ke sekolah pagi itu. Bila petang demam makin panas, ayahnya terus bawa ke Klinik Mediklinik untuk dapatkan ubat. Doktor bagi MC 2 hari untuk dia berehat di rumah.

Hari Rabu pula Danish demam, agaknya berjangkit dengan Angah dia. Itu pun saya sudah asingkan tempat tidur mereka, Danial tidur bawah dan Danish atas katil. Danish ini demam agaknya dia kurang minum air, sampai merekah-rekah bibir dia. Saya membawa dia jumpa doktor malam itu dan doktor siap cakap jika demam tidak surut sampai hari Sabtu sila bawa dia ke klinik/hospital untuk test denggi pula. Doktor syak dia kena denggi sebabnya dia demam tidak sekali dengan batuk atau selesema. Danish pula dapat MC 3 hari.

Malam itu saya tidur-tidur ayam sahaja. Ubat paracetamol kena bagi 4 jam sekali manakala ibuprofen 6 jam sekali. Letih rasa badan bila tidur tidak cukup ini, lagi-lagi bila umur sudah 40-an ini. Rasa mual dan pening kepala. Pagi itu saya bangun rasa berpinar biji mata dan ambil keputusan cuti sehari untuk menjaga anak sakit. Bagi sahaja sms kepada KP dan masalah saya selesai. Pagi itu kononnya nak ganti tidur tetapi mata tidak biasa, tidak juga terpejam dan terlena.

Dalam pukul 11.30 pagi itu pula KakLong telefon, katanya dia demam kuat, 41 darjah Celcius. Doktor bagi dia MC 2 hari, Khamis dan Jumaat. Ayah dia terus ambil KakLong di sekolah tanpa isi pun buku keluar asrama. Saya sudah risau, mula-mula sudah buat hal nanti kena keluar asrama. KakLong bagi jaminan yang dia telah maklumkan kepada Ketua Warden yang dia dapat MC 2 hari dan balik rumah. 

Makanya jika tiada alasan kapal terbang hilang atau terhempas pun, memang kami tidak boleh melancong ke Kuching pada tarikh tersebut. Anak-anak tidak sihat pada waktu itu. Saya redho dengan keadaan ini, semoga ALLAH menggantikan waktu dan detik gembira itu di masa yang lain...In Syaa ALLAH.



P/S: Maaf yer, tajuk tiada kena-mengena dengan kes Zamani Slam itu, hanya sekadar kebetulan sahaja..:)