Assalamualaikum...
Semalam emak dan ayah datang ke rumah, niat hendak menghantar 3 biji buah durian. Mereka di kampung sudah sepakat memberi tuannya merasa dahulu.
Ayah kata kalau gugur sebiji tidaklah juga dia datang tapi gugur sekali 3 biji. Macam faham sahaja rezeki untuk tuannya dulu, kesian juga dengan Abang Halim, Kaksu dan Paksu, hanya dapat cium bau sahaja.
Petang itu semasa anak-anak balik dari sekolah, Angah Danial kata dia cium bau durian padahal masa itu atuk dan opahnya belum sampai lagi.
Mungkin juga bau itu datang dari rumah jiran sebelah, ini memandangkan jiran itu juga peminat buah durian. Teka sahaja sebab selalu juga nampak bungkusan kulit durian depan rumah, bersedia untuk dibuang.
Anak saya seorang ini peminat buah durian, berbeza dengan kakaknya yang menyatakan buah durian itu busuk..macam orang putih pula.
Tak sangka juga sebab baru 2 bulan sahaja tuan tanah itu bertukar nama, itupun secara tiba-tiba. Tuan tanah asal berhajat untuk menjual tanah tersebut kepada ayah tetapi ayah pula menawarkan kepada saya.
Ada harta katanya, kerja kerajaan ini kena kumpul harta sedikit demi sedikit. Maklumlah gaji tidak banyak tapi tiap-tiap bulan dapat. Tidak kaya tetapi senang jika beringat dari sekarang.
Tak sangka itu bukan apa, baru beli sudah boleh merasa buah durian tanah sendiri. Rasanya sedap, lemak manis dan rasa pahit-pahit sedikit, suamiku kata orang cina suka durian yang rasa macam itu.
Bila kopek, ulasnya tersusun padat dan ada pangsa yang cuma ada seulas seumpama kucing tidur, gemuk dan bengkok sedikit. Kami kopek dan makan 2 biji durian itu dengan lahapnya padahal sebelum itu baru selesai makan malam.
Mungkin ini satu sebab mengapa kita perlu menyimpan duit. Jawapannya mudah sahaja, untuk membeli apa-apa makanan atau barangan kegemaran kita.
Mungkin sesetengah orang berkata, kalau hendak makan durian beli sahaja di pasar malam atau di tepi jalan. Sekarang ini tiada musim buah durian, sentiasa ada di mana-mana hatta di JJ.
Tetapi pengalaman malam tadi semasa menikmati kelazatan buah durian tersebut terselinap juga rasa syukur di atas kurniaan nikmatNya kepada hamba yang hina ini.
Tujuan membeli tanah sebelah itu adalah untuk kemudahan kami adik-beradik di kemudian hari. Senang hendak parkir kereta dan kenduri-kendara. Cucu-cucu opah dan atuk setiap tahun bertambah, jadi luaslah sedikit kawasan mereka hendak bermain-main dan terkinja-kinja.
Bayangkan sahaja jika Angah Danial berjumpa dengan Angah Faris dan jika Adik Danish berlari dikejar Kakak Irdina. Belum lagi masuk Kakak Damia, Kakak Aisyah, Adik Husaini dan anak Pak Uda.
Tidak sangka, cepat betul masa berlalu...