Assalamualaikum...
Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada Awie jika coretan saya ini menguris perasaan hatinya. Saya tidak bermaksud untuk memburukkan keadaan, hanya sekadar meluahkan apa yang terpendam dalam hati saya ini.
Sebenarnya saya sangat bersimpati dengan Awie atas apa yang berlaku dalam kehidupannya sekarang ini. Tentunya krisis rumah tangga menyebabkan seseorang berada dalam keadaan tertekan dan sedih. Laginya pula Awie adalah artis terkenal, seluruh alam orang kenal dia.
Kosmo, Rabu 7 Januari 2015
Saya ini mungkin agaknya termasuk dalam golongan peminat Awie yang ramai itu. Saya ini hanya berminat dengan lagu-lagu nyanyiannya yang lantang dan macho itu tetapi menyampah betul dengan lagu dan gaya yang rock itu, terjerit-jerit dan terkinja-kinja seperti orang kena histeria. Buat pekak telinga sahaja. Rambut panjang pula bagai jembalang, kirim salam sahaja yong, tidak suka sangat saya dengan gaya rock-rock itu.
Teringat suatu ketika dahulu semasa saya praktikal di Hospital Teluk Intan, waktunya akhir tahun 1997. Waktu itu Awie baru bertunang dengan Erra. Minat punya pasal saya sanggup keluar ke bandar masuk ke kedai menjual majalah. Dulu majalah URTV lah yang paling top bab cerita artis-artis ini. Begitu tekun dan kusyuknya saya membelek gambar-gambar pertunangan Awie dengan Erra yang cantik dan jelita itu.
Nasib baik pekerja kedai itu tidak perasaan dengan saya, jika tidak agaknya sudah lama saya kena tegur. Seingat saya agaknya lebih sejam saya berdiri dan duduk dalam kedai buku itu. Terdetik juga hati saya pada waktu itu, betapa beruntung nasib Awie dan Erra ini, majlis pertunangan gilang-gemilang setaraf dengan majlis pertunangan dan perkahwinan anak-anak raja. Dibandingkan dengan nasib saya sewaktu itu umpama langit dengan bumi lagaknya.
Saya ini semasa itu rasanya dalam kategori susah dan merempat. Nasib baik tidak tinggal di bawah jambatan. Saya menjalani Latihan Praktikal di Hospital Teluk Intan dalam 4 bulan setengah, dari 2 Jun hingga 18 Okt 1997. Saya memohon tinggal di kuarters dalam kawasan hospital. Duduk sekali dengan doktor bujang dan doktor pelatih perempuan. Bilik yang sekangkang kera itu hanya ada tingkap dan katil bujang sahaja.
Kawan sebelah bilik saya kerja Ahli Farmasi, nama dia pun saya sudah lupa. Ramah orangnya. Dia juga praktikal di situ. Masa praktikal Ahli Farmasi ini lagi panjang, setahun (rasa saya lah, jika salah tolong betulkan yer..), seingat saya dia sudah lama praktikal di hospital itu, ada juga dia terpaksa ke Hospital Ipoh sebulan. Tinggal saya seorang tanpa kawan. Doktor pelatih di situ saya jarang berjumpa. Mereka keluar sebelum 7 pagi dan balik malam. Saya masuk kerja 8 pagi dan balik semula ke bilik selepas jam 5 petang. Jarang sangat bertembung dengan mereka walaupun kami berkongsi bilik air yang sama.
Cerita sedih saya di kuarters ini tentang langsir. Makcik yang menjaga kuarters ini hanya membenarkan saya menumpang sahaja di situ dan mesti membayar sewa bulanan. Jumlah bayaran saya sudah lupa, tapi katanya saya kena bayar tinggi sikit dari yang lain kerana saya bukan golongan dari Kementerian Kesihatan. Saya ini dihantar syarikat SSP Medical Technologies Sdn. Bhd praktikal di Unit Kejuruteraan Elektronik di hospital itu.
Makcik itu semacam sombong dan melayan saya acuh tak acuh sahaja. Dia bercakap pun tidak memandang muka saya. Tiada senyuman, kata alu-aluan jauh sekali. Waktu itu saya merasakan kedatangan saya tinggal di kuarters itu hanya menyusahkan diri dia sahaja. Agaknya gaji dia kena potong kerana satu bilik sudah diberi kepada saya yang bukan dari golongan Kementerian Kesihatan tinggal di situ.
Dia hanya memberi kunci bilik kepada saya. Katanya lagi dia tidak boleh pinjamkan langsir sebab apa..saya sudah lupa. Saya yang terasa dengan sikap makcik itu diamkan sahaja. Kawan sebelah saya, Ahli Farmasi itu pun pelik dengan sikap makcik ini, langsir punyalah banyak tetapi tidak boleh dipinjamkan sehelai kepada saya. Saya waktu itu kategori hidup susah, hendak makan pun berkira-kira dulu, inikan pula hendak membeli kain langsir, lagi lah berkira-kira.
Habisnya dalam bilik saya hanya gantungkan kain batik di tingkap. Bila perlu guna kain batik saya gantung selimut pula. Hidup merempat. Ada sekali itu makcik seorang ini membawa mulut, katanya ada orang bagi aduan kepada dia, katanya tingkap saya tidak berlangsir. Bila malam ternampaklah susuk badan katanya. Saya tidak pasti dengan perkara itu, tetapi terasa di hati ini, itu satu cubaan dia untuk menghalau saya keluar dari kuarters itu.
Rimas betul waktu itu, serba tidak kena saya dikenakan oleh makcik seorang ini. Sudahlah kantin di hospital itu tutup di waktu petang. Waktu malam selalunya saya hanya makan nasi berulamkan timun sahaja. Hendak keluar ke bandar tiada kenderaan. Itulah yang susahnya pada waktu itu, tiada rupa, pangkat dan harta. Zaman itu jika hendak dibandingkan kehidupan saya dengan kehidupan Awie dan Erra memang jauh sangat perbezaannya.
Pernah sekali saya ke bandar dan terlepas bas semasa hendak balik ke kuarters hospital. Bas ke Bidor dan Kampar telah tamat operasi. Saya naik bas ke Selabak tapi bas tidak lalu depan hospital. Saya berhenti di tepi jalan dan berjalan kaki ke Balai Polis Teluk Intan itu. Waktu itu jam lebih kurang 9.30 malam. Seram sejuk telinga saya bila terkenang balik peristiwa berkenaan.
Akhirnya saya balik ke hospital dengan dihantar anggota polis menaiki kereta polis. Terima kasih buat anggota polis yang terlibat. Sekarang balai polis lama telah dirobohkan dan mereka berpindah ke tempat baru berdekatan dengan Kg. Bahagia.
Itulah cerita dulu-dulu. Satu lagi kenangan pahit saya semasa praktikal ialah saya dan Pak Hj Mat kemalangan pada hari terakhir saya praktikal. Kami naik motosikal untuk balik ke tanah rancangan. Sebuah kereta yang tergesa-gesa telah melanggar kami di satu simpang sebelah mahkamah tepi jalan besar itu. Walau pun tidaklah cedera teruk tapi berdarah dan calar-balar tangan dan kaki saya. Kami terus ke hospital semula untuk mendapatkan rawatan.
Sekarang ini jika lalu depan Hospital Teluk Intan pasti saya akan teringat semula kisah-kisah sedih saya dahulu. Pasti juga teringat kisah Awie dan Erra dulu. Begitu pun kehidupan perlu diteruskan selagi bernafas.
Saya meneruskan kehidupan saya dan Awie dengan kehidupannya. Kehidupan Awie nampaknya agak berliku, putus tunang dengan Erra, berkahwin pula dengan Arni. Dengan Arni dia bercerai setelah dikurniakan dengan 2 orang anak perempuan yang comel.
Selepas itu tersebar pula gambar Awie bernikah dengan perempuan cantik bernama Rozana Misbun. Masih terbayang di mata saya tangan Awie yang berketul-ketul itu sedang berjabat tangan dengan tok kadi. Sahlah orang itu Awie walaupun perkara itu cuba disorokkan dari pengetahuan umum.
Tahun 2014, sekitar bulan Julai heboh lagi kes Awie ini. Awie didakwa pukul isteri sehingga cedera parah. 3 keping gambar seorang perempuan dikatakan mirip wajah Rozana terpampang di depan media masa. Kesiannya saya melihat keadaan wanita itu, muka jadi herot-perot, bengkak-bengkak dan lebam.
Terkininya, pada 7 Jan 2015 pula Kosmo melaporkan dengan tajuk 9 tahun Awie guna sijil nikah palsu. Saya sangat terkedu dengan kes Awie kali ini. Tidak sangka akan terjadi lagi peristiwa sedih dalam hidup Awie setelah dia dikurniakan 3 orang anak hasil perkahwinannya dengan Rozana Misbun setelah hampir 9 tahun hidup bersama.
Semoga Awie tabah menghadapi hari-hari mendatang. Semoga ALLAH memberi kerahmatan dan hidayah ke atas hambanya yang bernama AHMAD AZHAR OTHMAN.
Ok, jumpa lagi.
wow antara dua dunia. betul masa awie bertunang masa dia naik moto harleynya dasat rasa.
BalasPadamsusahnya akak praktikal dulu
sekarang alhamdulillah sudah adsa keluarga bahagia
asalamualaikum, singgah follow disini
BalasPadamsedihnya baca cerita ni tapi rasa nya semua orang pun sama dulu2 mmg susah, alhamdulillah skrg dah happy dgn family
terima kasih singgah ke sini..
BalasPadambetul apa dikatakan...keadaan dulu yg susah itu menginsafkan diri kita..jika sekarang sudah senang jgn lupa diri..pedoman utk diri saya sendiri...
Alahai, syahdu pula baca kisah semasa praktikal tu... Tapi bila kenang balik, kesusahan di masa lampau menjadikan "kita" di hari ni...
BalasPadamTak patut makcik tu double standard penyewa.... semoga mak cik tu dah berubah skrang ni :)